REMBAU - Semua parti dan jentera yang terlibat dalam kempen pilihan raya di Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak menyentuh atau mengeksploitasi isu adat bagi meraih sokongan politik.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adat mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam masyarakat Negeri Sembilan dan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa dicampur adukkan dengan kepentingan politik.
Menurutnya, tindakan menggunakan isu berkaitan adat sebagai bahan kempen hanya akan mengeruhkan keadaan serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Saya sudah terangkan, berpesan dan meminta supaya sepanjang tempoh kempen ini kita jangan menyentuh isu adat.
“Adat perlu kita hormati kerana adat mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Jangan kita campur adukkan adat dengan politik, terutamanya semasa berkempen.
“Perkara itu hanya akan mengusutkan lagi keadaan dan kita tidak perlu menggunakan platform atau isu adat sebagai bahan kempen,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon melibatkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Rembau, iaitu Rantau, Paroi, Chembong dan Kota.
ARTIKEL BERKAITAN: Penamaan calon buka tirai PRN Negeri Sembilan ke-16
PRN Negeri Sembilan: Penyokong parti 'lawan' sorakan
Mohamad berkata, semua borang pencalonan yang dikemukakan bagi keempat-empat DUN berkenaan diterima tanpa sebarang penolakan.
Menurutnya, DUN Paroi dan Kota masing-masing menyaksikan pertandingan tiga penjuru, manakala Rantau dan Chembong melibatkan pertandingan satu lawan satu.
“Di Paroi terdapat tiga calon, Rantau dua calon, Chembong dua calon dan Kota tiga calon.
“Selepas ini, tempoh yang diwartakan untuk berkempen akan bermula. Saya berharap rakan-rakan, jentera serta petugas BN dapat menjalankan gerak kerja secara tersusun dan teratur,” katanya.
Beliau berkata, gerak kerja yang tersusun penting bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan jelas kepada rakyat, sekali gus menghasilkan keputusan yang baik pada hari pengundian.
Mohamad turut menggesa semua pihak menjalankan kempen secara sihat dengan memberi tumpuan kepada manifesto, dasar dan perancangan yang ingin ditawarkan kepada rakyat.
“Perkara paling penting ialah kita dapat menyampaikan hasrat dan manifesto BN yang akan dilancarkan nanti.
“Kita perlu menerangkan kepada rakyat betapa pentingnya mereka memberikan sokongan dan mandat semula kepada BN pada hari pengundian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, pertandingan satu lawan satu di beberapa kawasan membolehkan jentera memberi tumpuan lebih teratur berbanding pilihan raya terdahulu yang menyaksikan pertandingan sehingga empat atau lima penjuru.
Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi DUN Rantau berkata, tumpuannya adalah untuk memastikan gerak kerja jentera di kawasan itu disusun dengan baik, selain membantu calon BN di kawasan lain.
“Saya rasa di Rantau, orang sudah mengenali saya. Apa yang perlu saya lakukan ialah memastikan gerak kerja jentera disusun dengan baik dan dalam masa sama membantu rakan-rakan lain,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
PRN Negeri Sembilan: Calon PH ziarah pusara isteri sebelum penamaan calon
PRN Negeri Sembilan: Abdul Hadi, Asyraf Wajdi berjabat tangan, curi tumpuan penyokong
Pemimpin tertinggi BN iringi calon tanding PRN Negeri Sembilan
PRN Negeri Sembilan: Anthony berdepan calon BN di DUN Chennah
Bagaimanapun, beliau dijadualkan berada di Manila dari Isnin hingga Khamis bagi mewakili negara menghadiri beberapa mesyuarat ASEAN.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan penting dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu, selain memastikan suara, kepentingan, kedaulatan serta hak kedaulatan Malaysia terus dipertahankan.
Mengulas kerjasama antara parti, Mohamad berkata, persefahaman yang dilaksanakan bukan bermaksud parti-parti terbabit bergabung, sebaliknya saling membantu untuk memaksimumkan sokongan pengundi.
“Kita menjalankan persefahaman, bukannya bergabung. Seperti yang dilakukan di Johor, saya berharap di Negeri Sembilan kita dapat saling membantu supaya sokongan pengundi di kawasan-kawasan bertanding dapat dimaksimumkan,” katanya.